Pada zaman globalisasi dan modenisasi ini, kehidupan adiwangsa Malaysia menjadi semakin maju dan memerlukan penggunaan kos hidup yang tinggi. Untuk mencapai keselesaan dalam kehidupan ini, kita bukan sahaja perlu bersedia secara mental dan fizikal malah aspek kewangan juga tidak boleh dipinggirkan. Oleh yang demikian, sebagai langkah persediaan untuk masa depan, amalan perlulah bermula dari awal iaitu kita kecil lagi kerana pepatah Melayu juga mengatakan bahawa melentur buluh biarlah dar irebungnya. Wang ini boleh disimpan di dalam bank atau juga di dalam tabung. Wang yang disimpan itu boleh diibaratkan sebagai sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Oleh yang demikian, sudah pastilah amalan menabung wang akan mendatangkan impak yang positif kepada kita pada masa hadapan.
Antara kemaslahatan menabung adalah untuk persediaan masa depan khususnya dalam pelajaran. Sebagai seorang pelajar, wang amat penting untuk menampung perbelanjaan persekolahan seperti membeli buku- buku rujukan, membeli alat-alat tulis, membayar yuran sekolah dan yuran kelas bimbingan luar. Semua ini memerlukan wang yang banyak, lebih-lebih lagi apabila pelajar itu berjaya dalam peperiksaan, mereka akan menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi seperti di menara ganding, di kolej dan di institusi pendidikan swasta yang lain. Semakin tinggi pendidikan seseorang itu, maka semakin banyaklah wang yang diperlukan. Oleh hal yang demikian, jika kita memiliki amalan menyimpan wang sejak kecil lagi, sudah pastilah masalah ini akan dapat diatasi apabila kita bersiap sedia lebih awal lagi.
Di samping itu, wang yang telah ditabung juga boleh dijadikan sebagai persediaan untuk kegunaan segera apabila berlaku sebarang kes kecemasan. Bak kata pepatah malang tidak berbau, nasib buruk seseorangitu sukar dijangkakan oleh sesiapa. Oleh itu, inisiatif bersiap sedia perlulah diambil jika perkara yang tidak diingini itu menimpa diri kita atau ahli keluarga yang lain. Antara contoh kes kecemasan itu ialah gangguankesihatan, ditimpa bencana alam sepert banjir kilat, gempa bumi dan tanah runtuh serta juga tragedi kemalangan jalan raya. Oleh itu, sekiranya kita sudah bersedia lebih awal menyimpan wang ibarat sediakan payung sebelum hujan, sudah pasti masalah ini dapat diatasi.
Menabung juga mempunyai kesan serampang dua mata iaitu dapat memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari remaja seperti berjimat-cermat dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan masa depan kehidupan. Dalam kondisi ini, apabila kita menabung wang, kita akan mengelakkan diri kita daripada berbelanja secara boros dan merugikan diri sendiri. Dalam agama Islam ada menyatakan bahawa sikap boros itu merupakan amalan syaitan. Oleh yang demikian, dengan menabung wang kita akan belajar menahan nafsu untuk berbelanja dan menunjukkan obligasi terhadap diri kita sendiri. Wang yang berlebihan mestilah disimpan dan digunakan untuk perkara yang boleh mendatangkan manfaat dan membantu keluaga.
Seperkara lagi, menyimpan juga dapat membantu mengurangkan perbelanjaan ibu bapa dalam kos hidup keluarga. Dalam hal ini, ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai, terpaksa mengeluarkan perbelanjaanyang tinggi untuk pendidikan, pakaian dan perbelanjaan lain dem imembesarkan anak-anak. Oleh itu, apabila anak-anak ada menyimpan wang sejak kecil lagi, maka wang ini dapat digunakan oleh keluarga bagi mengurangkan bebanan kos hidup yang semakin meningkat di negara ini.
Intihanya, sebagai anak adiwangsa negara Malaysia ini, kita mestilah bijak merancang kewangan hidup kita dengan mengamalkan budaya menabung wang sejak kecil lagi. Peribahasa Melayu iaitu berjimat sebelum kena dan berjimat sebelum habis juga telah menjelaskan kepada kita betapa pentingnya penggunaan wang secara bijak agar kita tidak membazir dan rugi pada masa hadapan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menabung wang.